Johnny Depp Amber Heard
Johnny Depp & Amber Heard

Kisah Johnny Deep dan bekas isterinya Amber Heard bolehlah sedikit sebanyak kita jadikan pengajaran. Kisah mereka menggambarkan bagaimana masyarakat begitu cepat mempercayai seorang wanita yang kononnya telah melalui keperitan hidup sebagai isteri yang sering dipukul atau dicederakan oleh suami. Akibat daripada tindakan Amber Heard, nama baik Johnny Depp begitu cepat tercemar, dan seluruh dunia sepantas kilat mengecam beliau.

Namun, rakan-rakan rapat yang mengenali aktor Hollywood itu semuanya mempertahankan beliau. Mereka tidak percaya yang Johnny berupaya untuk memukul atau mencederakan seorang wanita, lebih-lebih lagi seorang yang bergelar isteri. Di sebalik segala itu, nama baik Johnny Depp telah tercemar teruk dan kebanyakan orang di dunia mula menggelar beliau sebagai seorang lelaki panas baran yang suka memukul perempuan.

Kisah mereka bermula apabila Amber Heard, juga seorang pelakon popular, membuat laporan keganasan rumahtangga terhadap Johnny Depp pada tahun 2016. Oleh kerana Johnny Depp adalah ikon Hollywood yang diminati dan dikagumi ramai, kisah ini mendapat pendedahan yang begitu meluas di seluruh dunia.

Menurut testimoni Amber, Johnny telah memukul beliau beberapa kali dan tuduhan ini telah disertakan dengan gambar-gambar kecederaan yang telah dialami beliau. Selain itu, Amber turut mendedahkan sebuah video yang menunjukkan Johnny yang sedang marah melempar gelas wain kepada beliau. Menurut Amber, hal ini sering berlaku apabila Johnny panas baran.

Akibat dari pendedahan tersebut, ramai orang di seluruh dunia mula mengutuk Johnny dan menyebelahi Amber yang mereka rasakan adalah seorang mangsa keganasan rumahtangga. Amber berkongsi segala kisahnya di laman sosial, termasuk menggunakan hashtag #MeToo demi menggambarkan bahawa beliau adalah seorang mangsa keganasan lelaki.

Di sebalik segala simpati terhadap Amber, dan kemarahan terhadap Johnny, ada juga berita-berita yang sangsi terhadap tuduhan Amber tersebut. Mereka menggelar Amber sebagai seorang yang gemar memanipulasi, seorang “gold digger”, seorang penipu dan macam-macam lagi. Mereka yang mengenali Johnny Depp enggan mempercayai berita ini kerana menurut mereka Johnny adalah seorang lelaki yang “gentleman” dan tidak akan tergamak mencederakan seorang wanita.

Namun, kisah ini telah mendapat meluas di seluruh dunia dan nama baik Johnny Depp telah pun tercemar. Dunia telah melabel beliau sebagai seorang yang kerap memukul wanita. In the court of public opinion, Amber telah menang. Amber berjaya menggambarkan bekas suami beliau itu sebagai seorang “abuser”.

https://twitter.com/_corazondemeIon/status/1106396218282991617

Namun, selepas tiga tahun, orang ramai mula beralih pendapat. Mereka tidak lagi mempercayai Amber Heard dan yakin bahawa mangsa sebenar dalam kes tersebut adalah Johnny Depp.

Ini terjadi apabila Johnny Depp memfailkan saman fitnah berjumlah USD50 juta terhadap bekas isteri beliau itu baru-baru ini. Saman fitnah tersebut disertakan dengan bukti-bukti baharu yang menunjukkan bahawa sebenarnya beliaulah yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga, dan bahawa selama ini bekas isteri beliau tersebut telah menipu dan memanipulasi keadaan.

Amber Heard telah berkongsi “pengalaman” beliau itu dalam akhbar Washington Post pada tahun 2018. Coretan Amber di akhbar tersebut mengulangi tuduhan beliau pada 2016 yang menggambarkan beliau sebagai seorang mangsa keganasan rumahtangga dan bahawa Johnny Depp adalah seorang pesalah yang telah mencederakan beliau.

Tindakan Amber tersebut membuatkan Johnny Depp hilang sabar, dan beliau telah memfailkan saman fitnah yang menyebut bahawa tuduhan Amber adalah sebenar-benarnya palsu, dan Johnny menyertakan testimoni-testimoni dari dua orang anggota polis, saksi-saksi pihak ketiga dan 87 rakaman video CCTV yang menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah.

Saman fitnah tersebut turut menyenaraikan beberapa insiden sejak awal perkahwinan mereka, termasuklah insiden di mana Amber menyepak dan menumbuk Johnny, dan bagaimana Amber melakonkan serangan-serangan terhadap beliau. Ada juga bukti bergambar menunjuk kecederaan pada mata Johnny Depp akibat dipukul oleh Amber, semata-mata kerana Johnny lewat hadir ke majlis sambutan hari kelahiran Amber yang ke-30 pada 21 April 2016.

Dokumen-dokumen mahkamah juga mendedahkan bahawa Amber Heard pernah ditangkap kerana kes keganasan rumahtangga sebelum berkahwin dengan Johnny Depp, dan bahawa Amber pernah mengaku di bawah sumpah bahawa beliau telah menyerang Johnny Depp beberapa kali. Menurut dokumen tersebut, Amber melakukan semua itu untuk melonjakkan kerjaya beliau di Hollywood.

Buat masa ini, kes ini masih berjalan dan kedua-dua pihak masih mempertahankan pendirian masing-masing. Namun, banyak yang boleh dipelajari dari insiden-insiden ini.

Janganlah kita mudah percaya terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh sesiapa pun terhadap selebriti atau pun tokoh-tokoh popular, terutamanya jika selebriti atau tokoh tersebut memiliki populariti, kekayaan atau tempat yang istimewa di mata dunia. Lihatlah, dengarlah dan gunakan akal fikiran sebaik-baiknya sebelum cepat menjatuhkan hukuman terhadap seseorang.

Namun begitu, janganlah disebabkan tindakan segelintir wanita yang memalsukan testimoni dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap bekas suami mendorong kita untuk tidak mempercayai tuduhan-tuduhan keganasan rumahtangga yang benar-benar berlaku. Janganlah jadikan tindak-tanduk wanita-wanita jahat seperti itu mencorakkan pendirian dan ketegasan kita terhadap keganasan rumahtangga. Kebanyakannya benar-benar berlaku, dan mereka patut menerima simpati dan sokongan dari kita semua.