Mahkamah Persekutuan

Rakyat Malaysia hari ini kerap membincangkan beberapa aspek prinsip undang-undang. Adakah undang-undang dianggap tegas dan tidak adil terhadap satu pihak apabila pihak yang satu lagi dikatakan telah “memenangi” sesuatu kes?

Adakah pihak mahkamah dan hakim melindungi diri mereka dengan mengenakan tindakan “penghinaan mahkamah” kepada seseorang individu?

Penghinaan Mahkamah

Seorang hakim Mahkamah Rayuan baru-baru ini telah memfailkan afidavit di dalam saman yang menyebut beberapa salah laku terhadap badan kehakiman. Beberapa kumpulan tertentu mendedahkan tuduhan-tuduhan tersebut dan menyiarkannya di media. Mereka menulis artikel-artikel dan muncul di kaca televisyen serta mengeluarkan kenyataan yang membimbangkan terhadap badan kehakiman.

Walaupun kebebasan bersuara dan ekspresi adalah dijamin sebagai kebebasan asas di bawah Perlembagaan, namun ianya haruslah dibuat secara bertanggungjawab dan menurut peruntukan undang-undang. Salah satu daripada batasan-batasan penting terhadap kebebasan tersebut adalah larangan ke atas tindakan-tindakan tertentu yang boleh dianggap sebagai “penghinaan mahkamah”. Frasa ini memang selalu didengari ramai. Kita mungkin pernah mendengarnya sewaktu berbual dengan rakan-rakan, menonton wayang atau membaca tentangnya di dalam laporan-laporan atau novel-novel perundangan. Tapi, apakah maksud konsep tersebut? Kenapa ia wujud?

Definisi

Lord Hardwick, seorang peguam dan ahli politik Inggeris yang berkhidmat sebagai Lord Chancellor, menggariskan tiga klasifikasi penghinaan mahkamah:

  1. menghina mahkamah itu sendiri
  2. memberi layanan buruk terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kes di dalam mahkamah
  3. menghakimi orang awam sebelum kes didengari

Penghinaan mahkamah boleh dikelaskan kepada dua jenis:

  1. Penghinaan sivil
  2. Penghinaan jenayah

Undang-undang Malaysia berhubung perkara ini adalah sama dengan undang-undang di India dan juga di negara-negara dalam bidang kuasa Komanwel.

Penghinaan sivil biasanya berlaku apabila sesuatu pihak atau individu enggan menurut perintah atau arahan mahkamah. Sebagai contoh: mahkamah mungkin mengeluarkan perintah injuksi yang menyebelahi A di mana mahkamah memerintahkan B untuk berhenti melakukan sesuatu tindakan. Sekiranya B enggan atau gagal mematuhi terma-terma injuksi tersebut, A boleh kembali ke mahkamah dan memulakan apa yang dipanggil prosiding komital. B kemudiannya akan dipanggil ke mahkamah untuk menjelaskan tindakannya. Sekiranya pihak mahkamah mendapati bahawa B memang telah enggan atau dengan sengaja gagal mematuhi injuksi tersebut, beliau akan dianggap sebagai menghina mahkamah. Peranan jenis penghinaan mahkamah ini adalah berbentuk pemulihan, iaitu untuk memastikan keadilan terlaksana untuk A akibat kegagalan B mematuhi arahan mahkamah.

Penghinaan jenayah adalah lebih serius daripada penghinaan sivil. Ianya berlaku apabila seseorang individu menghina, mengganggu, atau menjejaskan prosiding kehakiman. Dalam konteks Malaysia, salah satu contoh adalah dengan menulis sepucuk surat yang menghina dan berniat jahat kepada hakim, atau membaling selipar ke arah hakim. Ini pernah berlaku di Malaysia.

Dalam erti kata lain, penghinaan adalah kesalahan di mana pelaku tidak mematuhi atau menghormati mahkamah-mahkamah dan pegawai-pegawainya, atau keengganan untuk mematuhi arahan mahkamah.

Tidak kiralah sama ada penghinaan itu berbentuk sivil atau jenayah, kesan daripadanya adalah bersifat jenayah. Ini kerana pihak yang bersalah kerana menghina mahkamah akan dipenjarakan atau dikenakan denda. Tempoh pemenjaraan atau jumlah denda yang dikenakan bergantung kepada keseriusan penghinaan tersebut. Dalam kes menulis surat yang menghina, pesalah telah dikenakan denda berjumlah US$5000, sementara pembaling selipar yang disebut di atas telah dipenjarakan selama setahun.

Pada 7 Ogos, 2017, seorang peguam terkemuka di Singapura telah didenda S$6000 kerana mengepos sebuah puisi di Facebook yang didakwa telah menimbulkan keraguan terhadap badan kehakiman negara tersebut.

Mungkin satu-satunya pembelaan yang terbuka kepada penghina adalah permohonan maaf. Penghina biasanya dibenarkan untuk memohon maaf, dan sekiranya penghinaan tersebut tidak begitu serius, beliau mungkin tidak akan dikenakan tindakan. Dalam kes-kes yang lebih serius, permohonan maaf sahaja mungkin tidak mencukupi. Dalam kes-kes tersebut, pihak mahkamah akan mempertimbangkan beberapa faktor dan sebaliknya meringankan hukuman.

Siapakah yang boleh memulakan prosiding penghinaan?

Prosiding-prosiding penghinaan biasanya dimulakan oleh salah satu daripada tiga pihak berikut:

  1. seseorang individu atau sesuatu pihak
  2. peguam negara
  3. mahkamah itu sendiri

Kategori pertama di atas biasanya berlaku dalam kes-kes sivil. Contoh kepada ini adalah injuksi yang disebutkan di atas. Dalam kes-kes lain, peguam negara akan memohon mahkamah untuk mengenakan tindakan penghinaan terhadap penghina. Dalam kes-kes lain pula, pihak mahkamah sendiri akan mengenakan tindakan penghinaan terhadap seseorang. Mahkamah biasanya melaksanakan tindakan ini dengan mengeluarkan surat tunjuk sebab yang menjelaskan tarikh dan masa untuk penghina hadir ke mahkamah dan menjawab pertuduhan terhadapnya.

Rasional

Untuk memahami rasional di sebalik penghinaan mahkamah, kita harus menghargai satu lagi konsep penting yang dikenali sebagai kebebasan kehakiman. Kebebasan kehakiman secara asasnya bermaksud bahawa hakim-hakim harus bersifat saksama dan bebas membuat keputusan tanpa tekanan atau gangguan. Konsep ini termaktub dalam keyakinan masyarakat awam terhadap badan kehakiman. Hakim Kenny dari Mahkamah Persekutuan Australia memberi pandangan: “keteguhan badan kehakiman terletak di atas perintahnya yang melangkaui hati dan fikiran manusia”. Dari sini jugalah datangnya frasa lama yang menyebut bahawa “keadilan tidak hanya harus dilaksanakan, ianya juga harus dilihat terlaksana.”

Persepsi awam yang buruk terhadap badan kehakiman sudah pastinya memberikan tekanan kepada hakim-hakim dan menjejaskan kebebasan kehakiman, yang kemudiannya akan melemahkan keyakinan awam terhadap badan kehakiman. Ini adalah satu kitaran buruk yang berulang. Namun ini bukanlah bermakna bahawa kritikan dan perbincangan yang adil langsung tidak diterima. Kritikan yang adil diterima kerana ia adalah pemacu kepada pembangunan akademik.

Berhubung ini, kata-kata Lord Justice Salmon dalam kes Ex Parte Blackburn (No 2) [1968] 2 QB 150 adalah relevan (pada m/s 155): “Tiada kritikan terhadap penghakiman, tidak kiralah berapa kuat pun, boleh dikira sebagai penghinaan kepada mahkamah, dengan syarat ia adalah di dalam batasan-batasan ihsan dan niat baik.” Namun begitu, komen-komen yang adil juga ada batasnya.

Saya ingin menyebut satu keputusan di dalam sebuah kes di Australia dengan harapan ianya boleh meriangkan semua orang dan mengingatkan mahkamah akan tanggungjawabnya terhadap undang-undang. “Kuasa untuk menghukum ke atas penghinaan mahkamah dilaksanakan untuk mengembalikan integriti mahkamah dan prosidingnya, dan jarang sekali, sekiranya ada, dilaksanakan untuk mengembalikan integriti peribadi seseorang hakim.” Lewis v Ogden (1984) 153 CLR 682.

Episod Hamid Sultan


Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer

Perbincangan-perbincangan tentang penghinaan mahkamah yang disebut awal tadi berhubung kait secara langsung dengan pendedahan yang dibuat oleh seorang hakim Mahkamah Rayuan. Beberapa pihak telah mengeluarkan komen-komen tentang hakim-hakim Malaysia. Mengkritik atau mempersoalkan keputusan-keputusan secara akademik adalah tindakan yang boleh diterima, namun menghina hakim-hakim di sebalik keputusan tersebut adalah tindakan yang tidak boleh diterima.

Tidak hairanlah kenapa peguam negara bertindak memohon Mahkamah Persekutuan untuk mengenakan penghinaan mahkamah terhadap seorang peguam kerana sekurang-kurang satu komen daripada peguam tersebut telah melanggari batasan kebebasan bersuara.

Dalam sebuah wawancara bersama Bernama pada 18 Februari, 2019, seorang pengamal undang-undang telah berbicara tentang keputusan Mahkamah Persekutuan untuk membenarkan Asian International Arbitration Centre untuk masuk campur dan kemudiannya menghapuskan sebahagian daripada keputusan hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Leap Modulation tersebut. Beliau berpendapat bahawa keputusan Mahkamah Rayuan untuk membenarkan kedua-dua tindakan tersebut sekaligus adalah satu bentuk “steamrolling” terhadap keputusan bertentangan hakim Mahkamah Rayuan tersebut. Peguam tersebut telah mengulangi tuduhannya dalam dua artikel atas talian.

Pada saya, tuduhan-tuduhan tersebut tidak berasas. Mahkamah Persekutuan telah bertanya setiap pihak jika mereka ada bantahan terhadap permohonan menghapuskan sebahagian keputusan tersebut dan mereka berkata mereka tiada bantahan. Tanpa memerlukan sebarang hujah lain, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan tersebut berdasarkan kebenaran. Pengamal undang-undang tersebut telah gagal menjelaskan perkara ini.

Dalam keputusan tersebut, beliau telah menggambarkan bahawa hakim-hakim telah bersekongkol dengan pusat arbitrari tersebut maka hakim-hakim tersebut adalah tidak jujur. Ini jelas menunjukkan beliau menggunakan kebebasan bersuara dengan salah maka tindakan beliau itu memang boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.

Peguam-peguam yang mewakili pengamal undang-undang tersebut memohon untuk mengenepikan kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan kepada peguam negara untuk memulakan prosiding komital terhadap anak guam mereka.

Kesimpulan

Rakyat sesebuah negara demokrasi mempunyai kuasa untuk mengkritik atau mempersoalkan kerajaan. Namun begitu, mereka haruslah adil dan munasabah. Hak kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab yang berat. Walaupun kita boleh berasa marah apabila membaca tentang tuduhan-tuduhan yang belum terbukti, kita tidak boleh melanggar undang-undang untuk menyatakan pandangan emosi kita. – 19 Mac 2019.

*Syed Ahmad Idid adalah bekas hakim Mahkamah Tinggi Malaya & Borneo dan pengarah KLRCA. Beliau juga adalah felo di Asian Institute of Chartered Bankers.
**Artikel ini diterjemahkan dari artikel asal Bahasa Inggeris yang disiarkan di The Malaysian Insight.