Maria Chin
Campurtangan Maria Chin dalam Mahkamah Syariah

Pada 5 September lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin mengecam tindakan mahkamah syariah yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas wanita yang melanggar perintah mahkamah untuk membenarkan bekas suami untuk berjumpa anak-anaknya.

Berita ini terpampang di dada-dada berita seperti Free Malaysia Today dan The Malaysian Insight. Ahli Parlimen tersebut menggunakan ayat yang kasar (“a total disgrace”) terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Campurtangan Maria Chin dalam kes ini telah mengakibatkan kemarahan ramai pihak yang mempertikaikan kenapa beliau perlu mencampuri urusan mahkamah, dan sebagai seorang Ahli Parlimen beliau sepatutnya tahu bahawa ulasan beliau tersebut boleh menyebabkan berlakunya penghinaan mahkamah.
Halaman Facebook Sahabat Mahkamah Syariah adalah antara yang mula-mula sekali mencemuh tindakan Maria Chin.

Pada hari yang sama, mereka membuat hantaran yang mengatakan “Mahkamah bukan sesuka hati atau secara membuta tuli memenjarakan seseorang kerana melanggar perintah mahkamah. Maria Chin patut tahu kerana dia seorang Ahli Parlimen yang bertanggungjawab menggubal undang-undang di negara ini. Apa guna kita gubal undang-undang namun tidak dilaksanakan?”

Seorang peguam jenayah dan syariah, Hamid Ismail, turut mempersoalkan motif Ahli Parlimen tersebut. Beliau mencabar Maria Chin supaya menjelaskan dakwaan bahawa sistem perundangan syariah mendiskriminasi wanita. Beliau turut berkata bahawa Maria boleh menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen untuk meminta Parlimen memansuhkan atau meminda peruntukan yang dikatakan mendiskriminasi sekiranya ia dapat dikenal pasti.

Pertikaiannya di sini adalah Maria Chin membuat kenyataan tanpa mendengar penjelasan kedua-dua belah pihak. Beliau nampaknya hanya menunjukkan simpati kepada tertuduh semata-mata kerana tertuduh adalah seorang wanita, dan mungkin kerana kes ini melibatkan public figure, bukannya orang biasa. Maria Chin juga dicemuh kerana seolah-olah mengejar kepentingan politik dan peribadi dalam kes ini.

Menurut halaman Facebook Sahabat Mahkamah Syariah lagi, mahkamah telah memberi banyak peluang kepada bekas isteri untuk mematuhi perintah mahkamah. Namun beliau tetap melanggar perintah tersebut berulang kali. Bapa kepada anak-anak ini walaupun diberikan hak untuk berjumpa dengan tiga orang anaknya tidak dapat berjumpa dengan mereka hingga ke hari ini.

Dalam pada masa yang sama, perintah pemenjaraan tersebut digantung atas permohonan bekas isteri bagi memfailkan rayuan. Beliau dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000.

“Kenapa perlu salahkan mahkamah jika dipenjarakan kerana orang seperti ini perlu diajar supaya hormat kepada perintah yang dikeluarkan,” kata mereka lagi.

Pada 9 September lalu, bekas suami terbabit, Datuk Wira Faisal Nasimuddin telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding menghina terhadap Maria Chin selepas beliau mengkritik keputusan mahkamah syariah tersebut.

Peguam Akberdin Abdul Kader berkata ulasan yang dibuat Maria Chin telah menunjukkan ketidaktahuannya mengenai fakta kes itu dan anak guamnya merasakan Ahli Parlimen itu telah menghina mahkamah syariah.

“Dia tidak pernah berunding dengan pihak lain sebelum membuat kenyataan keras itu,” kata Akberdin dan mengatakan bahawa sebagai Ahli Parlimen, Maria perlu bersikap adil terhadap kedua-belah pihak dan menghormati undang-undang.

Pada 18 September, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menetapkan tarikh 14 Oktober depan bagi keputusan permohonan ex parte bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Maria Chin.

Semoga integriti mahkamah syariah terus terbela, Insya-Allah.